PETALING JAYA – Selepas kira-kira dua minggu kejadian banjir di Zoo Negara, kucing popular, Oyen dilihat kembali beraksi mesra dengan capybara.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Zoo Negara di TikTok, video berkenaan menjadi bualan ramai yang rindukan gelagat haiwan-haiwan berbeza spesis itu.
Lebih melucukan, ada netizen berseloroh ‘menuduh’ capybara dalam video itu adalah yang terlepas dari kandang ketika banjir berlaku.
“Entah-entah capybara ni yang terlepas, nak lari dengan Oyen. Cinta terhalang gitu,” kata Wewe.
“Nasib baik Oyen selamat masa banjir dengan capybara. Kalau tak saya tak nak datang Zoo Negara,” ujar Nanie Hassan.
“Semoga tak banjir lagi. Kasihan Oyen dan kawan-kawan,” komen Hulaiq.
Sebelumnya Kosmo! melaporkan, Oyen turut terselamat daripada bencana banjir kilat yang melibatkan sekitar Zoo Negara, baru-baru ini.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata, selain Oyen, semua haiwan berada dalam keadaan selamat kecuali seekor capybara terlepas keluar.
Bagaimanapun, ia sempat dimasukkan kembali ke dalam kawasannya oleh kakitangan bertugas. – KOSMO! ONLINE
@znmzoonegara good morning. may you find yourself someone like oyen 🫶🏻 #oyen #capybara #zoonegaramalaysia2023 ♬ Urn by Crying City – Crying City<3