KUALA TERENGGANU – Gara-gara tidak berpuas hati dengan agihan hasil keuntungan perniagaan, seorang wanita yang juga pengusaha tudung dan pakaian tergamak membunuh rakan perniagaannyadi Batu 23, Jalan Kuala Berang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, suspek berusia 35 tahun bukan sahaja melanggar mangsa sehingga tercampak ke dalam longkang malah bertindak kejam menikam tubuh wanita warga emas berkenaan sebanyak 15 kali sehingga mati.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya suspek dan rakan bisnesnya yang berusia 65 tahun telah bertengkar berkaitan perniagaan mereka sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah di Wakaf Tapai, Marang.
“Mangsa kemudiannya bertindak keluar dari kereta Honda Jazz dinaiki mereka sebelum suspek yang memandu nekad melanggarnya.
“Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang yang terletak di tepi jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Mazli berkata, suspek semakin bertindak kejam menikam mangsa bertubi-tubi yang sedang tertiarap di dalam longkang itu.
Tambah beliau, suspek kemudiannya dengan selamba meninggalkan mangsa dan kereta Honda Jazz sebelum menumpang sebuah kenderaan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian tersebut tidak lama kemudian.
“Wanita berusia 35 tahun telah berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai pada pukul 11 pagi.
“Sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek telah ditemui dibuang berhampiran kawasan rumah suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE