PETALING JAYA – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dianugerahkan gelaran Rakan Kongsi Teknologi Terbaik di Sidang Kemuncak Asia Ketua Pegawai Perolehan (CPO) 2023 yang diadakan di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur baru-baru ini.
Organisasi perbankan Islam sepenuhnya itu diiktiraf atas komitmennya terhadap pemboleh digital dalam proses perolehan, melalui pembangunan perisian perancangan sumber, M Procure.
Ketua Pegawai Operasi Bank MBSB, Jesleigh Johari berkata, M Procure ialah sistem yang memberikan ketelusan, kecekapan dan kelancaran kepada pihak berkepentingan dalaman dan luaran, terutamanya pembekal berdaftar.
“Implementasi penuh Procure-To-Pay (P2P) hanya mengambil masa lima bulan dari tarikh pelantikan dengan bantuan daripada rakan kongsi kami, SAP Ariba serta Deloitte Consulting SEA, dan ia secara signifikan telah menunjukkan kecekapan kos dan peningkatan prestasi perniagaan secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sidang Kemuncak Asia CPO 2023 dinilai sebagai salah satu program pengiktirafan dan persidangan perolehan teratas untuk 2023 anjuran 3novex Global, yang meraikan perolehan mampan, amalan terbaik, penyumberan beretika dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE