fbpx

Pengguna di Melaka boleh tawar-menawar harga ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORENA (tiga dari kanan) membuat pemantauan harga ayam di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka (MBMB), Bachang, Melaka. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Harga ayam di negeri ini masih murah iaitu antara RM7.39 sehingga RM9.40 sekilogram walaupun kerajaan telah menamatkan harga kawalan dan pemberian subsidi sepenuhnya bermula hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil pemantauan di tiga premis berasingan mendapati ayam segar di pasar awam dijual antara RM8.90 hingga RM9.40 sekilogram, sementara RM7.39 sekilogram di pasa raya besar.

Kata beliau, pelanggan di pasar awam masih boleh tawar-menawar dengan penjual bagi mendapatkan harga yang lebih murah.

“Terdapat perbezaan harga ayam di pasar awam dan pasaraya besar, saya beri jaminan bahawa ayam di pasar raya besar adalah ayam segar dan bukan stok lama.

“Selain itu bagi pengguna yang pergi ke pasar awam mereka boleh tawar menawar dengan peniaga. Contohnya, kalau beli dua ekor ayam mereka mungkin hanya perlu membayar RM8.50 sekilogram berbanding harga sebenar RM8.90 sekilogram,” katanya pada sidang akhbar pemantauan harga ayam oleh KPDN Melaka di sini, hari ini.

Tambah Norena, seramai 21 pegawai pemantau harga dan penguatkuasa KPDN akan ditugaskan memeriksa harga ayam setiap hari.

Katanya, sekiranya terdapat peningkatan harga yang begitu tinggi melebihi RM9.40 sekilogram maka satu Akta Perlindungan Pengguna (APP) akan dikenakan kepada peniaga untuk serahan notis bagi menentukan wujud elemen pencatutan atau tidak.

Dalam pada itu, mengenai aduan berkaitan ayam, Norena berkata, pihaknya telah menerima lima aduan rasmi berkaitan harga ayam setakat 31 Oktober.

Menurutnya, daripada jumlah itu dua aduan menghasilkan kes di bawah Seksyen 12(1) APP 1999 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Dua kes tersebut berkaitan gambaran mengelirukan mengenai harga dan kesalahan tiada tanda harga. Tiga lagi aduan berkisar pertanyaan umum mengenai harga ayam di pasaran dan tiada tindakan diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI