JAKARTA – Seorang penduduk menemui sejumlah besar wang di pintu masuk Masjid Darul Hasani, Aceh Besar kelmarin, sekali gus meminta pemiliknya agar tampil ke depan, lapor laman berita RMOLAceh semalam.
“Wang itu ditemui pada waktu siang,” kata ketua masyarakat tempatan, Ulyani kepada laman berita tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa wang itu ditemui oleh seorang lelaki bernama Budi Azwar dalam keadaan diikat di dalam beg plastik yang dipenuhi pasir dalam keadaan basah.
Pada awalnya, Budi menganggap ia adalah wang mainan.
“Pada waktu malam hujan turun, menyebabkan wang itu basah dan berpasir. Dia (Budi) membuka beg plastik itu dan membuang airnya,” ujar Ulyani.
Tambah Ulyani, Budi kemudian menyerahkan wang itu kepadanya dan nilai sebenarnya tidak didedahkan.
Namun, katanya, wang tersebut dianggarkan melebihi 1 juta rupiah (RM299) dan kurang daripada 10 juta rupiah (RM2,990). – AGENSI