LONDON – Arsenal sudah mula pasrah dengan kecederaan melibatkan pemain tengah berpengaruhnya, Thomas Partey seperti tiada kesudahan apabila bakal disisihkan sekali lagi untuk tempoh yang panjang.
Difahamkan, Partey mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihan minggu lalu dengan ujian imbasan oleh pegawai perubatan menyaksikan pemain antarabangsa Ghana itu mungkin diketepikan sehingga penghujung tahun ini.
Situasi berbeza ketika Partey mewakili bekas kelabnya, Atletico Madrid apabila hanya terlepas lima perlawanan kompetitif sepanjang lima musim sebelum menyertai The Gunners pada tahun 2020.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta bingung dengan situasi melanda pemain berusia 30 tahun itu selepas dilanda kecederaan demi kecederaan sejak tiga tahun lalu.
“Kami agak risau dengan masalah kecederaan yang dialami oleh Partey kerana dia merupakan tunjang utama pasukan ini. Anda boleh lihat bagaimana dia bermain jika cergas sepenuhnya dan diletakkan dalam kesebelasan utama.
“Cuma, musim ini kami telah mengambil langkah berjaga-jaga tetapi dia masih lagi dibelenggu kecederaan. Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi saya percaya dia akan bangkit semula selepas ini.
“Mengenai jangka masa diberikan oleh pegawai perubatan, saya harap tidak terlalu lama tetapi mungkin memakan masa beberapa minggu sebelum dia dapat kembali sertai skuad utama nanti,” katanya. – AGENSI