fbpx

Naik motor bawa ganja 70kg, 50 peluru hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS merampas 70 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dalam rondaan berdekatan pagar sempadan negara di Padang Besar pada Khamis lalu.

KANGAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 berjaya mematahkan cubaan menyeludup 70 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM217,100 dan sepucuk pistol bersama 50 peluru hidup berhampiran pagar sempadan negara di Padang Besar pada pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, sepasukan pasukan cawangan risik PGA Batalion sedang melaksanakan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di sebuah kawasan kebun getah berdekatan Kampung Kolam sebelum ternampak kelibat seorang lelaki sedang menunggang motosikal.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 C100 berwarna merah itu bertindak merebahkan motosikalnya dan melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pihak polis kemudiannya menghampiri dan menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut sebelum menemui satu bungkusan hitam yang didalamnya mengandungi dua guni berwarna putih.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua bungkusan guni putih itu menjumpai 32 dan 38 ketulan mampat yang dibalut plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 70kg.

“Pasukan polis turut menemui sepucuk pistol jenis Beretta dan satu kotak peluru 9 milimeter sebelum membuat rampasan dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Menurut Muhammad, siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perlis dan IPD Padang Besar membawa penangkapan empat suspek lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Padang Besar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI