SHAH ALAM – Polis Selangor menerima sebanyak 44 laporan daripada kakitangan syarikat penerbangan tambah rendah, MyAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) berkaitan dakwaan tunggakan gaji mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah laporan itu berdasarkan semakan sepanjang tempoh 1 Oktober lalu hingga pukul 1 petang hari ini.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya merekodkan laporan polis tertinggi mengenai isu itu iaitu sebanyak 18 diikuti IPD KLIA (7) dan masing-masing enam bagi IPD Sepang serta IPD Petaling Jaya.
“IPD Serdang pula menerima tiga laporan manakala dua bagi IPD Shah Alam dan masing-masing satu di IPD Kajang serta IPD Kuala Langat,” katanya hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa campur tangan kerajaan dalam isu kakitangan syarikat itu yang tidak diperlakukan dengan adil.
Terdahulu, kira-kira 20 kakitangan MyAirline tampil membuat laporan polis selepas mendakwa syarikat berkenaan gagal membayar gaji pekerja selama dua bulan bermula September lalu.
Syarikat itu juga tidak membuat pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak Mei.
Mengulas lanjut, kata Hussein, semua laporan polis itu daripada pekerja yang mendakwa tidak berpuas hati kerana gaji mereka tidak dibayar.
“Kes berkenaan dirujuk ke mahkamah bagi pengadu mengambil tindakan sivil,” katanya. – KOSMO! ONLINE