KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi amaran kepada universiti awam (UA) seluruh negara supaya tidak mengenakan yuran melebihi RM1,500 ketika sesi pendaftaran pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk ‘turun padang’ ke universiti terbabit jika perkara sedemikian berlaku.
“Ketika proses pendaftaran, jangan minta dengan pelajar lebih daripada RM1,500. Kalau ada tunggulah, kementerian ‘datang’.
“Sebab pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang berjumlah RM1,500.
“Tetapi saya percaya pihak universiti tidak akan melanggar keputusan itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Dinamik Pasaran Kerja Graduan 2023, di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke UA dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dibuat supaya ia selari dengan nilai pemberian WPP PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
Pada masa yang sama, Anwar memberitahu, pelajar sedia ada yang menghadapi kesukaran membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. – KOSMO! ONLINE