PETALING JAYA – Selepas melabel menanti Ira Kazar sebagai isteri tidak berdaftar, ibu kepada pengarah Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail sekali mencuri perhatian ramai apabila menitipkan doa agar anak-anaknya tidak menjadi mangsa fitnah.
Berkongsi perkara tersebut dalam InstaStory, isteri penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam itu juga berharap anak-anaknya sentiasa menguatkan diri dengan ilmu agama bagi menghadapi setiap dugaan mendatang.
“Lindungi anak-anak kami daripada fitnah dunia.
“Semoga dikuatkan iman untuk menghadapi ujian hidup ini, amin,” katanya ringkas seraya turut memuat naik fotonya bersama suami tercinta.
Menerusi perkongsian berbeza, Patimah turut memuat naik fotonya bersama dua cucunya iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah yang merupakan anak Syamsul dan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana.
Sejak semalam, keluarga Yusof sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila muncul khabar angin Syamsul sudah menceraikan Ira menerusi aplikasi WhatsApp dan dihalau daripada rumah.
Meskipun timbul pelbagai spekulasi, Syamsul mahupun Ira masih tidak memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Yusof juga mengakui tidak mengetahui sebarang isu melibatkan Syamsul dan Ira kerana sudah lama tidak berhubung serta bertemu.
Untuk rekod, Ira sah bergelar isteri kepada Syamsul pada 5 Januari lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada bulan yang sama.
Rentetan daripada itu, Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE