KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal memperluaskan kerjasama strategik dengan sektor halal untuk meningkatkan peratusan graduan memperoleh gaji premium, RM4,000.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan peningkatan sasaran di beberapa universiti awam (UA) seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Beberapa universiti telah pun lahirkan graduan bergaji premium antaranya UTM dengan catatan sebanyak 30 peratus.
“Kita berjaya lahirkan lebih 40 graduan bergaji premium. Sekarang, ada kira-kira 80 graduan sedang menjalani latihan tapi keperluannya melebihi sekitar 900 orang setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Persidangan Dinamik Pasaran Kerja Graduan 2023, di sini hari ini.
Katanya, jumlah sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan berkenaan dan berpendapat bahawa cara lama tidak lagi boleh digunakan.
“Kita sedar ia tidak datang secara automatik, banyak perlu dilakukan untuk pastikan ia tercapai.
“Sekarang kerjasama sedang dibuat dalam beberapa sektor seperti logistik dan pengangkutan, kewangan dan perbankan dan terkini, elektrik dan kejuruteraan.
“Kerjasama mesti dibuat secara khusus dan spesifik sebab tu kita lantik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menerajui program latihan graduan dalam sektor elektrik dan kejuruteraan.
“Akan datang, kita rancang untuk perluaskan sasaran ke industri halal pula,” katanya.
Tambah beliau, fokus kementerian kini juga adalah merancakkan hubungan industri dan melaksanakan langkah-langkah yang lebih bersifat spesifik dan strategik.
“Ia bagi memastikan graduan yang bakal dilahirkan turut memiliki kemampuan dan bercirikan industri tersedia (industry ready),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE