TEL AVIV – Sebuah dokumen yang dikumpulkan perisikan Israel mendedahkan komplot Rejim Zionis untuk mengusir penduduk Palestin ke Sinai, Mesir selepas menggulingkan pentadbiran Hamas di Semenanjung Gaza, lapor laman berita Middle East Eye kelmarin
Berdasarkan dokumen yang diterbitkan oleh media Israel, Rejim Zionis akan sedaya upaya mengusir orang awam ke bandar-bandar khemah di Mesir sebelum bergerak ke bandar-bandar kekal yang akan dibina di Sinai Utara.
Inisiatif tersebut yang diterbitkan pada 13 Oktober lalu turut menyebut tentang penubuhan ‘zon penampan’ dalam radius beberapa kilometer di sempadan Mesir serta cadangan untuk melarang penduduk Gaza kembali ke tanah air mereka.
Kementerian Perisikan mengesahkan kewujudan dokumen tersebut, namun pegawai yang terlibat dalam pengumpulan maklumat berkata, Tel Aviv tidak berhasrat untuk membincangkan cadangan itu secara terbuka.
Tambahnya, walaupun masyarakat antarabangsa mungkin mengecam langkah Israel, pelan itu adalah salah satu cara untuk membantu pelarian melarikan diri daripada perang.
Awal bulan ini, bekas timbalan menteri luar Israel, Danny Ayalon memberitahu stesen penyiaran Al Jazeera bahawa rakyat Palestin di Gaza harus mengosongkan kediaman mereka dan berpindah ke Gurun Sinai di Mesir.
Menurutnya, di situ bandar khemah sementara boleh didirikan untuk pelarian ketika Israel menggempur Semenanjung Gaza.
Mesir bagaimanapun berulang kali enggan membenarkan rakyat Palestin berpindah ke wilayahnya dengan Presiden Abdel Fattah Al-Sisi mengulangi pendirian tersebut dalam panggilan telefon kepada rakan sejawatnya di Amerika Syarikat, Joe Biden kelmarin.
Sejak hari pertama Rejim Zionis melancarkan serangan besar-besaran ke atas penduduk Gaza, pelan itu sudah dapat dihidu, lapor akhbar Palestine Chronicle.
Pada 9 Oktober lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengarahkan kepungan sepenuhnya ke atas Semenanjung Gaza dan berkata: “Tidak akan ada bekalan elektrik, makanan, bahan api dan semuanya.”
Israel sejak hari pertama perang berlaku, telah berusaha untuk menyekat bekalan perubatan, makanan, air, bahan api, elektrik dan bantuan kemanusiaan utama daripada memasuki Gaza.
Rejim Zionis turut meranapkan sebilangan kawasan paling kaya dan destinasi popular di Semenanjung Gaza dalam usaha untuk memusnahkan sepenuhnya infrastruktur awam di wilayah berkenaan.
Skala besar kekejaman yang dilakukan terhadap orang awam pula dilihat setanding dengan mana-mana perang besar yang pernah dilihat dalam tempoh beberapa dekad lalu, bahkan lebih teruk lagi.
Tambah Palestine Chronicle, Israel bagaimanapun berdepan cabaran utama melaksanakan rancangannya termasuk penentangan daripada Al-Sisi .
Isu kedua adalah sekiranya keadaan itu berlaku, kumpulan Hizbollah di Lebanon pasti akan melancarkan perang besar-besaran ke atas Israel dari bahagian utara
Israel dikatakan tidak lagi berada pada kedudukannya seperti pada 1948, di mana jenayahnya boleh disembunyikan dan ia jauh lebih berkuasa dari segi ketenteraan berbanding negara jiran Arab yang lain.
Walaupun retorik keras dan pembunuhan penduduk awam Gaza berterusan, askar Zionis dilaporkan berada dalam kedudukan paling lemah yang pernah dialaminya. – AGENSI