WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menghantar 300 askar tambahan ke Asia barat untuk menguatkan kedudukannya di rantau itu, kata Pentagon semalam di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak, lapor agensi berita Anadolu.
“Tentera tambahan ini akan menyediakan keupayaan dan komunikasi pelupusan persenjataan letupan serta sokongan lain untuk pasukan yang sudah berada di rantau itu.
“Ia bertujuan untuk menyokong usaha pencegahan serantau, seterusnya meningkatkan keupayaan perlindungan tentera AS,” kata jurucakap Pentagon, Briged Jeneral Patrick Ryder.
Ryder enggan menyatakan ke mana lokasi pasukan itu akan dihantar, namun menafikan dakwaan mereka dikerah ke Israel.
“Setakat ini, terdapat 27 serangan ke atas tentera AS di Asia Barat sepanjang Oktober, termasuk 16 di Iraq dan 11 di Syria,” kata Ryder.
Washington baru-baru ini menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke timur Mediterranean ekoran serangan Hamas yang mengejutkan pada Oktober lalu. – Agensi