fbpx

Kanak-kanak Orang Asli cirit-birit teruk naik helikopter ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Helikopter Agusta Westland 139 mendarat di Kampung Tendrik, Gua Musang untuk mengambil kanak-kanak Orang Asli yang cirit-birit semalam.

GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini yang mengalami cirit-birit teruk dibawa untuk rawatan lanjut ke Hospital Gua Musang dengan menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam.

Asrisyam Steri, 3, dilaporkan turut mengalami muntah dan batuk sejak dua hari lalu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Akmaluddin Said berkata, kanak-kanak itu diiringi ibunya, Senyon Milo, 29, untuk menaiki helikopter Agusta Westland 139.

Katanya, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara pada pukul 1.10 tengah hari dan tiba di Kampung Tendrik kira-kira 51 minit kemudian.

“Setibanya di Pos Bihai, pesakit bersama pengiring sudah bersedia menanti di rumahnya. Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa menaiki helikopter sebelum tiba di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 2.30 petang,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Muhammad Akmaluddin memberitahu, pesakit terus dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.

Katanya, kanak-kanak berkenaan didapati tidak berselera makan apabila kerap muntah dan batuk yang berlarutan selama dua hari.

“Operasi tersebut diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Zukhairee Zabidi dan dibantu pembantu juruterbang, Penguasa Kanan Bomba II, Robert James bersama tiga lagi anggota.

“Anggota bomba selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Utara kira-kira pukul 3.33 petang. Cuaca berawan rendah dan hujan di beberapa kawasan sepanjang penerbangan dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI