PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, jam Rolex miliknya yang dibuka untuk bidaan adalah harus iaitu dipanggil bay’ muzayadah.
Beliau menjelaskan perkara itu menerusi aplikasi X selepas ditanya oleh seorang pengguna dikenali sebagai Baimm yang menaip, ‘halal rupanya buat bidaan’.
Zulkifli berkata, Rasulullah SAW juga pernah membuka bidaan melibatkan pelapik tunggangan dan bekas atau mangkuk makanan miliknya.
“Ada yang letak satu dirham, ada yang letak dua dirham. Baginda SAW bagi kepada yang bida dua dirham.
“Ia harus selagi tidak berlaku penipuan seperti bay’ najash,” katanya ringkas pada hantaran itu hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, jam Rolex milik Zulkifli yang dibuka bidaannya untuk sumbangan membantu rakyat Palestin mendapat bidaan tertinggi berjumlah RM135,000.
Perkara itu dimaklumkan oleh beliau menerusi hantaran Facebook pagi tadi berhubung bidaan jam Rolex miliknya yang juga pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada 2017. – KOSMO! ONLINE