KUALA LUMPUR – Harga ayam yang ditawarkan di pasaran tempatan masih lagi stabil dan tidak melebihi harga siling yang ditetapkan sejak Februari 2022 iaitu RM9.40.
Menurut pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, tinjauan hari ini mendapati harga ayam di pasar basah adalah sekitar RM9 sehingga RM9.40 sekilogram.
Manakala di pasar raya besar, harga ayam yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah iaitu di sekitar RM7.89 sen.
Menurut Ariffin, apabila berlakunya pengapungan harga, orang ramai boleh menikmati harga ayam yang lebih murah yang sudah pasti dapat memberikan keuntungan bagi pengguna.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pengapungan harga membolehkan pasar raya membeli stok ayam dengan jumlah yang lebih besar.
“Jadi, mereka tidak ada masalah untuk tawarkan ayam segar dengan harga yang lebih rendah kepada pembeli.
“Industri juga diharapkan dapat bersaing secara sihat dan terus menawarkan ayam dengan harga yang lebih murah dan berpatutan,” katanya ketika melakukan ‘walkabout’ di Lulu Hypermarket, Capsquare, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengenai sebarang kenaikan harga yang mungkin berlaku pada masa hadapan, KPDN memberi jaminan akan sentiasa melakukan pemantauan untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku.
“Pihak KPDN akan sentiasa pantau, bukan sahaja di pasar-pasar basah tetapi juga di pasar raya dan juga kedai runcit untuk memastikan harga ayam masih terkawal.
“Setiap hari, pegawai penguatkuasa akan sentiasa pantau harga. Buat masa ini, kebanyakan peniaga masih patuh dengan harga yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya.
Tambah Ariffin, pengguna yang terpaksa membeli ayam dengan harga melampau dialu-alukan untuk membuat laporan terus kepada KPDN untuk siasatan lanjut.
“Apabila berlakunya pengapungan harga, sekiranya harga naik melampau, itu dikira pencatutan. Jadi orang ramai boleh buat laporan kepada KPDN,” katanya. – KOSMO! ONLINE