fbpx

Harga ayam di Perlis RM10 sekilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAZAH menerangkan sesuatu kepada seorang peniaga ayam di Pasar Besar Sena, Kangar hari ini.

KANGAR – Harga jualan runcit ayam di Perlis mencatatkan sedikit penurunan pada hari pertama diapungkan selepas penamatan subsidi bahan mentah itu dilaksanakan hari ini manakala bekalan pula dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Norazah Jaapar berkata, harga jualan runcit di sekitar negeri ini dicatatkan sekitar RM8.50 hingga RM10 sekilogram.

“Sebagai makluman, harga runcit maksimum bagi ayam standard terdahulu adalah RM9.40 dan harga runcit ayam super adalah RM10.40 sekilogram yang ditetapkan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam yang dikawal melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bermula 5 Februari 2022.

“Bagaimanapun, tinjauan di seluruh negeri ini mendapati harga dijual antara RM8.50 hingga RM10 bergantung kepada harga modal yang ditawarkan oleh pembekal selepas diapungkan hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Pasar Besar Sena di sini hari ini.

Tambahnya, terpulang kepada kebijaksanaan pembeli untuk memilih penjual yang menawarkan harga berpatutan kerana ia menggunakan konsep bekalan dan permintaan.

Terdahulu Norazah bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Farah Adlina Ropaie dan pasukan Pegawai Pemantau Harga KPDN negeri.

Menurut Norazah, kebanyakan bekalan ayam yang diperoleh peniaga runcit di negeri ini adalah daripada syarikat pembekal yang beroperasi di negeri Kedah, Pulau Pinang dan di Perlis sendiri.

“Tinjauan terhadap peniaga runcit juga mendapati stok bekalan bahan mentah itu masih banyak dan belum ada laporan mengenai kekurangan bekalan ayam di negeri ini.

“Menyentuh mengenai kaedah apungan harga yang dilaksanakan kerajaan pula, ia adalah satu kelebihan kepada pengguna untuk bijak memilih harga terbaik ditawarkan,” jelasnya.

Tambah Norazah, jika penjual menjual pada harga terlalu tinggi, ia mungkin akan menyebabkan pembeli memilih peniaga lain yang menjual lebih murah.

Katanya, keadaan tersebut akan mendorong pembekal menurunkan harga pada kadar lebih rendah bagi membolehkan produk mereka mampu dijual.

Jelas Norazah lagi, pihaknya akan terus komited melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung berlebihan atau manipulasi harga oleh peniaga.

Menurut rekod, sebanyak 116 kes melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempamerkan tanda harga serta menjual melebihi harga maksimum yang ditetap di bawah AKHAP 2011 bermula sejak Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI