fbpx

Graduan baharu juga mahu gaji besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

TIDAK pernah lapuk. Itu gambaran tepat menggambarkan isu gaji yang sering menjadi topik bualan hangat dalam kalangan masyarakat terutamanya graduan baharu yang mula melangkah dalam bidang pekerjaan.

Perdebatan demi perdebatan dalam media sosial berkaitan perbandingan gaji termasuk ada antaranya menyatakan graduan harus dibayar lebih RM3,000 sebulan kerana nilai itu lebih setara dengan kos sara hidup kini.

Malah terdapat juga pihak yang merasakan graduan baharu harus menerima tawaran gaji rendah kerana masih setahun jagung dalam industri pekerjaan.

Selain itu, ada yang merasakan tawaran gaji harus diberikan berdasarkan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dimiliki seseorang atau graduan baharu.

Menurut perunding kerjaya, Nik Akmal Afif Nik Othman, soal angka pendapatan adalah privasi yang tidak seharusnya ditonjolkan kepada umum bagi mengelak rasa tidak puas hati dalam kala­ngan pekerja kerana ketidaksamarataan.

“Namun, ini tidak bermakna tidak adil dalam semua situasi kerana lain orang, lain nilai yang dibawa kepada syarikat.

“Bagaimanapun, banyak syarikat ambil pendekatan ‘maximise profit’ (memaksimakan keuntu­ngan) berbanding ‘compensate accoring to value’ (pampasan ikut nilai),” katanya.

Kongsinya, perbincangan mengenai gaji antara graduan baharu dan pekerja senior ada kesannya yang boleh membuka mata sesetengah pihak.

“Isu perbandingan gaji ini ada baik dan buruknya. Contohnya perkara ini mampu membuka mata dan kesedaran kepada pekerja terutamanya graduan.

“Namun, apa yang tidak sihat apabila graduan hanya membandingkan gaji semata-mata sedangkan banyak aspek lain seperti keluk pembelajaran, ke­pimpinan dan faedah.

“Jika graduan ada pendedahan dan lebih memerhati, mereka akan sedar gaji besar hanya ditawarkan syarikat bersaiz besar sahaja,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, akhir­nya, syarikat tidak rugi apa-apa sekiranya topik gaji menjadi perdebatan pekerja baharu.

Nik turut menasihatkan supaya setiap pekerja sama ada senior atau junior untuk berbincang dengan lebih tenang supaya mengelak sensitiviti dalam kalangan setiap pekerja.

“Perkongsian gaji-gaji besar dalam media sosial mencetuskan jangkaan yang tidak sepenuhnya praktikal. Membincangkan gaji sahaja pasti mengundang rasa tidak adil dan jangkaan tidak rea­listik.

“Saya percaya gaji bukan topik sensitif sehingga tidak boleh menjadi diskusi tetapi perlu hadkan dan berhati-hati ketika berbincang,” tutupnya.

Apa-apa pun berbalik kepada logik. Sekiranya graduan beberapa kali ditolak kerana permintaan gaji yang terlampau tinggi, cubalah bersifat neutral.

Terimalah sebarang gaji ditawarkan pada awal pekerjaan. Timba pengalaman dengan lebih banyak untuk memudahkan proses kenaikan gaji yang setaraf dengan level.

Pada akhirnya graduan yang rugi apabila sering berbalah mengenai gaji sedangkan syarikat tidak mahu memandang perkara tersebut sebagai isu besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI