fbpx

Digugurkan RTG tak jejas motivasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZIE (dua dari kanan) percaya rakan sepasukannya tetap bermotivasi tinggi untuk layak ke Olimpik Paris 2024 walaupun digugurkan daripada program RTG. - FARIZ RUSADIO

PETALING JAYA – Tonggak berpengaruh skuad hoki kebangsaan, Muhammad Razie Abdul Rahim menegaskan, semangat mereka tidak pernah luntur untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun digugurkan daripada program Road to Gold (RTG).

Razie, 46, percaya Speedy Tigers mampu kembali berada dalam program elit itu dengan memenuhi syarat Jawatankuasa RTG iaitu layak ke Olimpik Paris 2024 menerusi aksi kelayakan yang akan diadakan di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol dari 13 hingga 21 Januari depan.

“Sedikit sebanyak ia memberi motivasi kerana sebelum ini kita dibantu oleh RTG. Kita berterima kasih dengan bantuan RTG dan kita juga tahu, apabila tak mencapai sasaran untuk berada dalam program, maka ia ditarik semula.

“Apapun, seperti dimaklumkan (Jawatankuasa RTG), kalau layak ke Olimpik pada Januari ini, kita boleh kembali berada dalam program. Jadi ia memberi motivasi untuk pasukan bagi mencapai apa yang disasarkan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, pakar flick itu mengakui, cabaran tetap sukar pada aksi kelayakan Olimpik nanti kerana setiap pasukan juga mengimpikan tiket beraksi di Paris, Perancis yang akan diadakan 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

“Setiap pasukan yang menyertai kejohanan kelayakan pastinya mahu layakkan diri. Sebagai pasukan, kita tak boleh melakukan apa-apa kesilapan. Apa yang dirancang kena menjadi, kalau tak, itulah yang akan menyukarkan pasukan nanti,” kata Razie.

Speedy Tigers antara tiga nama yang digugurkan daripada program RTG selain dua beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu disingkirkan selepas gagal menepati sasaran memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China bulan lalu, sekali gus terlepas tiket automatik sebagai juara benua Asia ke Olimpik Paris 2024.

Kali terakhir Speedy Tigers beraksi di pentas Olimpik adalah sewaktu edisi 2000 di Melbourne, Australia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN