PETALING JAYA – Isu buli di sekolah, jenayah siber dan cadangan tambatan ringgit antara perkara yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, soalan berhubang isu buli itu akan dibangkitkan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau-PH).
Muhammad Bakhtiar akan meminta Menteri Pendidikan menyatakan usaha-usaha yang diambil oleh Kementerian bagi mengatasi isu buli di sekolah yang semakin berleluasa.
Sementara itu bagi isu trend jenayah siber, soalan berhubung perkara tersebut akan dibangkitkan Muhammad Ismi Mat Taib (Parit-PN).
Beliau akan meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk meningkatkan kelengkapan dan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani trend jenayah siber yang semakin canggih pada waktu ini.
Bagi soalan berkaitan cadangan tambatan ringgit pula, soalan tersebut akan diutarakan oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Machang-PN).
Ahli Parlimen itu akan meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada pihak Kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara bercadang untuk menambat nilai Ringgit
pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada tahun 1999.
Ini kerana katanya, kadar ringgit pada ketika ini rendah berbanding US Dollar. – KOSMO! ONLINE