PETALING JAYA – “Untuk perolehan ventilator, ramai orang bijak pandai kata saya kena jawab soal ini. Tetapi perolehan ventilator dibuat pada tahun 2020 dan saya jadi Menteri Kesihatan pada Ogos 2021.”
Demikian jawapan balas yang diberikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila sering disoal mengenai isu perolehan ventilator ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Beliau menjelaskan perkara demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan olehnya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan hari ini.
“Kalau fakta salah, jangan bercakap soal ini dengan saya. Bukan saya berniat untuk menyalahkan orang lain tetapi ini adalah fakta. Soal vaksin pun saya sedia bertanggungjawab,” katanya.
Tambahnya, isu berkaitan ventilator perlu ditanya kepada pihak yang bertanggungjawab ketika itu.
“Saya kena jelaskan, sama juga dengan PPE (peralatan perlindungan diri), perolehan dibuat sewaktu sebelum saya (jadi Menteri Kesihatan),” katanya.
Terdahulu, laporan ‘Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE)’ yang dibentang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) gagal mengenal pasti pihak bertanggungjawab atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika pengurusan pandemik Covid-19.
Laporan sama turut mendedahkan kepincangan selepas kerajaan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput.
Dalam pada itu, PAC turut mendedahkan berlaku lebihan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) dipesan selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan tamat tarikh luput menjelang akhir 2024. – KOSMO! ONLINE