PETALING JAYA – “Hei perempuan, kau dengar apa aku cakap, depan makam Rasullullah ini aku cakap depan muka kau, kalau Rayan benci aku, aku akan pastikan dekat tanah haram ini kau mampus.”
Demikian antara dialog yang dilontarkan pelakon tempatan, Janna Nick ketika menjayakan watak Misha dalam siri drama Surat Dari Tuhan yang mula ditayangkan di slot Samarinda bermula semalam.
Bagaimanapun, dialog tersebut mendapat kritikan dan kecaman hebat daripada ramai pihak.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menerusi sesi siaran langsung di TikToknya semalam, tampil mengkritik babak drama Melayu tersebut kerana merasakan dialog digunakan seperti tidak menghormati Tanah Suci, Mekah.
Beliau turut berasa kecewa dengan dialog menerusi klip-klip babak yang dipertontonkan kepada umum menerusi promo drama terbabit yang tular di media sosial.
“Lakonan tersebut dibuat di sebuah hotel di Tanah Suci yang nampak latar belakang Masjid Nabawi. Saya terkejut macam mana boleh terfikir nak buat skrip macam ini, menggunakan makam Nabi.
“Walaupun dia tak bersumpah, tidak wajar perkataan itu dijadikan sebagai dialog. Sedangkan kita diajar jaga lidah, jaga akhlak dan perbuatan ketika di Tanah Suci,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan etika seorang pelakon Islam terutamanya apabila memilih untuk meneruskan dialog seperti itu sedangkan secara jelas ia merendahkan martabat agama suci Islam sendiri.
“Mana etika ketika melakonkan babak di Tanah Suci dan tak berasa bersalah ke masa nak merakamkan babak ni?.
“Tempat yang paling suci dan indah seluruh umat manusia yang dambakan pergi, kenapa nak masukkan dialog seperti ini.
“Sedangkan nak berkata-kata perkara baik pun kita tak mampu nak cakap depan Makam Rasulullah,” tegurnya.
Tambah Ustazah Asma’, sekiranya lokasi tersebut tidak dilakukan di Tanah Suci, dialog tersebut masih tidak wajar dipertuturkan.
Beliau pada masa sama tampil menegur pihak produksi agar meneliti dahulu drama tersebut sebelum dipertontonkan supaya sensitiviti umat Islam dapat dijaga. – KOSMO! ONLINE