PUTRAJAYA – Lebih 1,000 orang pelajar membabitkan penuntut daripada 20 universiti awam akan dilantik bagi menyertai Skuad Sokongan Krisis (CSS).
CSS yang dibentuk oleh Majlis Kaunseling Universiti Awam (MAKUMA) itu bertujuan memperkukuhkan lagi sistem sokongan psikososial selain berfungsi mengatasi isu kesihatan mental di peringkat universiti awam.
Majlis pelancaran CSS di sempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman sempena penganjuran Seminar Psikologi Kaunseling Institusi Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan 2023, di sini hari ini.
Azlinda dalam ucapannya berkata, CSS akan dianggotai barisan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK) yang sedia ada di setiap universiti awam.
Menurutnya, mereka (CCS) akan dibekalkan dengan modul-modul dan latihan berkaitan kesihatan mental yang diselia sepenuhnya oleh pihak MAKUMA.
“CSS yang terlatih melalui pembelajaran modul-modul dan latihan berkaitan psikososial akan berperanan menjadi kumpulan sokongan sosial di setiap universiti dan komuniti.
“Mereka adalah barisan hadapan bagi membantu MAKUMA sebagai kumpulan sokongan dan pendengar yang baik dalam khidmat menolong,” katanya.
Katanya, antara cabaran kaunselor dalam mendepani isu kesihatan mental ialah terdapatnya stigma yang tinggi terhadap kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.
Azlinda berkata, ramai masih merasa malu untuk mengaku mereka menghadapi masalah kesihatan mental malah, cuba menyembunyikannya dan hal ini mungkin disebabkan kurang pengetahuan mengenai kesihatan mental. – KOSMO! ONLINE