fbpx

Perak Transit ambil alih laluan Tapah-Bidor-Sungkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Nizar (kanan) bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Perak Transit Berhad (Perak Transit) akan mengambil alih perkhidmatan bas awam bagi laluan Tapah-Bidor-Sungkai berkuat kuasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pengambilalihan tersebut adalah ekoran tindakan syarikat Hup Yik Omnibus Co. Sdn. Bhd. yang memberhentikan perkhidmatan bas awam mereka di laluan itu.

Beliau berkata, tindakan berkenaan telah memberi kesukaran kepada penduduk setempat terutamanya pelajar-pelajar sekolah.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara ini dan memandang serius permasalahan perkhidmatan bas awam tersebut. Justeru, pihak kerajaan negeri telah berbincang dengan Perak Transit supaya mengambil alih perkhidmatan tersebut di laluan Tapah-Bidor-Sungkai.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah pun memberi kebenaran kepada Perak Transit memulakan pengoperasian pada Rabu 1 November 2023 (esok),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, operator bas yang baru di laluan tersebut ialah The Combined Bus Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Perak Transit.

“Sebanyak 25 hentian untuk perkhidmatan laluan ini iaitu Terminal Bas Tapah, SMK Hamid Khan, Kolej Komuniti Tapah, Bukit Pagar, Kaolin Tapah, Kampung Tersusun Batu 2, JPJ Tapah, Cahaya Muda, Kg. Baru Tanah Mas, SMK Agama Bidor, Taman Sri Bidor, Taman Desa Damai dan Stesen Bas Bidor.

“Turut terlibat ialah hentian Manyu, Taman Bidor Jaya, Estet Bidor Tahan, Simpang 3, Kg. Baru Pekan Pasir, Badrock, Kg. Tersusun Bikam, Kampung Bikam, Kg. Jawa, Kg. Cengai, Taman Permai dan Terminal Bas Sungkai,” katanya.

Beliau memaklumkan, sebuah bas akan bermula dari Terminal Bas Tapah manakala sebuah lagi akan bermula di Hentian Bas Sungkai setiap hari.

“Pihak syarikat juga akan menyediakan sebuah lagi bas untuk gantian sekiranya bas mempunyai kerosakan ketika beroperasi. Tambang untuk laluan ini bermula dari 90 sen sehingga RM3.20 mengikut hentian yang dipilih oleh penumpang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI