JAKARTA – Pejabat Kebajikan Masyarakat Bandung, wilayah Jawa Barat menahan dua individu yang berpura-pura buta demi meraih simpati orang ramai dengan cara mengemis, lapor portal berita Okezone hari ini.
Menurut Ketua Bahagian Pemulihan Sosial Kota Bandung, Irfan Alamsyah, kedua-dua individu itu ditangkap ketika sedang mengemis di kawasan Jalan Ahmad Yani.
“Ketika diminta memberi keterangan untuk tujuan pengumpulan maklumat, salah seorang daripada mereka mengaku hanya berpura-pura buta untuk meraih simpati orang ramai,” katanya.
Kedua-dua pengemis tersebut turut mengaku boleh mengumpul wang sumbangan orang ramai sehingga 500,000 rupiah (RM149.86) dalam masa separuh hari dan mencecah 15 juta rupiah (RM4,493) sebulan.
Mereka kini sedang ditahan untuk menjalani bimbingan serta khidmat nasihat selain ahli keluarga akan dipanggil untuk membantu penilaian. – AGENSI