PETALING JAYA – MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) menegaskan bahawa syarikat tidak menamatkan atau mengarahkan mana-mana kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lalu sehingga sekarang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya memahami beban masalah yang dihadapi oleh kakitangannya dan akan memberi jaminan bahawa syarikat sedang melakukan yang terbaik untuk mengatasi isu tersebut.
“Kami berharap semua kakitangan dapat bekerjasama dengan kami dalam tempoh yang sukar kini,” katanya di sini hari ini.
Tambah MYAirline, selain Tabung Ihsan, dana dalaman yang telah ditubuhkan untuk mengutip derma bagi membantu kakitangan syarikat yang terkesan, syarikat juga telah bekerjasama dengan Perkeso untuk membolehkan pekerjanya memohon Skim Insurans Pekerjaan untuk mengurangkan beban masalah yang dihadapi sekarang.
Selain itu, mengenai isu memulangkan wang penumpang, MYAirline telah menerima lebih daripada 30,000 panggilan dan emel daripada kumpulan terjejas.
“Sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini, kami berharap dapat membuat pulangan wang penumpang dengan seberapa segera sebaik sahaja menerima pakej permodalan semula daripada pelabur.
“Kami akan terus memaklumkan perkembangan terbaharu kepada penumpang dan juga pemegang taruh yang berkaitan sebaik sahaja ia tersedia,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE