fbpx

Mahkamah: Dua pengurus kolej komuniti didakwa tipu tuntutan Penjana Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arrie Syahiman (dua kanan) dan Nurul Azwani (tiga kanan) didakwa mengemukakan tuntutan palsu berkaitan Penjana Kerjaya di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dan wanita yang juga pengurus kanan sebuah kolej kemahiran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bernilai keseluruhan RM126,100 membabitkan program Penjana Kerjaya pada dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Arrie Syahiman Mohd. Zain, 33, dan Nurul Azwani Mohd. Razali, 37, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja program pengambilan insentif pekerja palsu bagi menuntut insentif melalui seorang ejen.

Kedua-dua tertuduh didakwa mempunyai kepentingan dengan dokumen tersebut yang mengandungi butir matan palsu iaitu senarai pekerja yang sebahagian besar sebenarnya bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Arrie Syahiman dan Nurul Azwani didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu masing-masing berjumlah RM81,800, RM39,000 dan RM5,300.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Terengganu pada 7 Jun, 29 Jun dan 5 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir palsu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI