fbpx

Lelaki tular pukul pemandu lori sampah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan suspek memukul mangsa di Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, Sabak Bernam kelmarin.

SABAK BERNAM – Seorang lelaki yang tular memukul dan mencederakan pemandu lori sampah sebelum ini, akhirnya diberkas semalam.

Penahanan suspek berusia 50an itu dilakukan di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya turut merampas kayu yang digunakan ketika kejadian, pengunci stereng dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Namun, semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes ugutan jenayah dan mencederakan orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, suspek itu kini direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEB Waste Management dalam kenyataannya menyeru orang ramai ramai sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada pihaknya terutama berkaitan dengan laluan kenderaan lori kompaktor.

“Ini bagi memastikan operasi kutipan sisa berjalan lancar dan mengikut jadual. Kita menyerahkan insiden kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut,” jelasnya.

Kosmo semalam melaporkan seorang pemandu lori sampah cedera dipukul lelaki yang berang selepas dihon supaya mengalihkan kenderaannya yang menghalang laluan di Jalan Panchang Bedena kelmarin.

Kejadian pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang juga lelaki berusia 37 tahun cedera di tangan selepas dipercayai dipukul dengan kayu dan turut diugut suspek. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI