fbpx

Konflik Palestin-Israel: Kereta kebal Zionis masuki Bandar Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel yang memasuki Tebing Barat. - Telegram

BANDAR GAZA – Kereta kebal-kereta kebal Rejim Zionis memasuki Bandar Gaza, manakala penduduk membaling batu ke arah tentera Israel ketika mereka menyerbu pejuang Palestin di Tebing Barat semalam, lapor portal berita MailOnline.

Israel meningkatkan operasi ketenteraan di Gaza selepas seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa wilayah Palestin itu di ambang anarki selepas orang awam terpaksa menggeledah gudang untuk mendapatkan makanan dan minum air kotor.

Kebimbangan terhadap nasib lebih 2.2 juta penduduk yang tinggal di Gaza semakin meningkat ketika Israel meneruskan ‘fasa kedua’ perangnya untuk menghapuskan kumpulan Hamas.

Tentera Israel berkata, pihaknya membunuh ‘berpuluh-puluh’ pejuang Hamas dalam tempoh semalaman di Gaza. Hamas juga berkata, pejuangnya terlibat dalam ‘pertempuran sengit’ dengan tentera Israel di utara Gaza.

“Israel mara  beransur-ansur mengikut perancangan di Semenanjung Gaza,” kata jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari semasa taklimat akhbar semalam.

Kereta kebal-kereta kebal  Israel memasuki pinggir Bandar Gaza melalui jalan utama dari utara ke selatan wilayah Palestin yang dilanda perang itu, kata beberapa saksi kepada agensi berita AFP.

“Mereka menembak mana-mana kenderaan yang dilihat,” kata seorang penduduk, dengan rakaman menunjukkan kereta kebal Israel memusnahkan sebuah kereta. Saksi juga berkata, kereta kebal Zionis kelihatan di daerah Zaytun.

‘Mereka melalui jalan Salahedin dan menembak mana-mana kenderaan yang dilihat,” kata seorang lagi saksi. 

Pertempuran juga berlaku di Tebing Barat iaitu  wilayah Palestin yang dijajah Rejim Zionis di timur Israel. Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di Jenin. 

Sehingga Ahad lalu, tentera dan peneroka haram Israel membunuh 115 rakyat Palestin, termasuk 33 kanak-kanak bawah umur di Tebing Barat dengan separuh daripada mereka terkorban semasa operasi serbuan oleh Israel, kata PBB. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI