fbpx

Kerajaan akan terus sokong IPT teroka bidang pengajian baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (dua kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Adeeba dari Universiti Malaya (dua kanan) pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15. -Foto FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus mendorong usaha semua institusi pengajian tinggi (IPT) dalam meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.

Beliau berkata, pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.

“Membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan.

“Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu,” katanya pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15 di sini hari ini.

Ucapan tersebut dibacakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu katanya, ahli akademik harus menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk melonjak potensi diri yang terbaik.

“Ahli-ahli akademik harus menjadi rujukan kepada anak bangsa kita untuk memberi yang terbaik kepada negara.

“Semua proses ini memerlukan ahli sarjana, ikon pemikir dan sang murabbi yang bukan sahaja mengajar dan mendidik di peringkat pendidikan tinggi. Tetapi, menjadi inspirasi yang disegani kepada rakan dan orang awam,” jelasnya.

Dalam pada itu, majlis tersebut menyaksikan Pakar Penyakit Berjangkit Negara, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara bagi edisi kali ini.

Adeeba berkata, beliau sangat terharu atas penghargaan itu dan berharap anugerah berkenaan dapat memberikan inspirasi kepada ahli akademik yang lain.

“Saya bertugas selama 26 tahun di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), sudah tentu kejayaan saya bukan hasil usaha saya seorang. Sokongan dan dorongan dari semua pihak, membantu saya menjalankan tugas.

“Saya berharap rakan-rakan saya di UM dan universiti lain dapat terus menjalankan tugas dan amanah seperti ucapan Perdana Menteri tadi, untuk bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI