PETALING JAYA – Jam tangan jenaman mewah Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencatatkan bidaan tertinggi sebanyak RM131,000, setakat pagi ini.
Perkara itu diumumkan menerusi kemas kini di ruangan komen pada hantaran di Facebook rasminya.
“Makluman terkini, (pukul 9.25 pagi, 31 Oktober 2023). Bidaan tertinggi adalah sebanyak RM131,000,” katanya.
Terdahulu, Dr. Zulkifli melelong jam tangan Rolex pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bermula RM40,000.
Katanya, hasil bidaan jam tangan itu akan disalurkan sepenuhnya kepada tanung kebajikan buat rakyat Palestin.
“Harga tapak RM40,000. Kenaikan bermula RM100 ke atas.
“Bidaan akan ditutup pada 31 Oktober 2023 jam 12 tengah malam,” jelasnya pada semalam.
Tinjauan Kosmo! di platform media sosial Zulkifli, mendapati lebih 50 pembida ikuti acara lelongan tersebut dengan kenaikan harga bidaan sekitar RM500 hingga RM3,000 seorang. – KOSMO! ONLINE