fbpx

Isteri jual gelang emas demi suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Normarlisa Sahila memberitahu suaminya disahkan menghidap kanser usus besar sejak dua bulan lalu.

GUA MUSANG – Seorang wanita terpaksa menjual gelang emas miliknya berharga RM3,000 bagi menampung kos perbelanjaan suaminya yang disahkan menghidap kanser rektum atau kanser usus besar sejak dua bulan lalu.

Kehidupan Wan Normarlisa Sahila Wan Azmi, 40, bersama empat anaknya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di Jalan Persiaran Raya di sini berubah sekelip mata selepas suaminya, Nor Zamzuri Ibrahim, 44, terlantar.

Menurut pembantu tadbir itu, dia tiada pilihan terpaksa menjual seutas gelang emas miliknya untuk menampung kos rawatan dan pengangkutan suami ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dengan jarak lebih 300 kilometer (km).

“Kadang-kadang suami terpaksa tinggal 10 hari di hospital untuk rawatan. Saya perlu bercuti untuk menjaganya.

“Suami kini sudah memakai beg stoma selain tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.

“Malah suami perlu ke HRPZ II untuk rawatan kemoterapi setiap dua minggu sekali,” katanya.

Terdahulu, Wan Normarlisa menerima sumbangan da­ripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gua Musang (SKOGUM) yang di­sampaikan Yang Dipertua (YDP) PIBG, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani di sini semalam.

Tambahnya, dia memerlukan membelanjakan lebih RM200 untuk membeli beg khas yang menjadi keperluan penting suaminya ketika ini dan beg itu perlu ditukar dua hari sekali.

“Kini tanggungjawab terhadap keluarga terletak di bahu saya kerana suami sudah terputus sumber pendapatan apabila tidak dapat bekerja sebagai pemandu kontrak kenderaan pacuan empat roda.

“Saya juga akan bertukar tempat kerja dan berpindah ke Kota Bharu selepas ini.

“Malah anak-anak juga akan ditukar sekolah ke Kota Bharu bagi memudahkan saya menguruskan suami selain mengelakkan anak-anak daripada tercicir dalam pelajaran,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Normarlisa di talian 014-547 7312 atau menerusi akaun Bank Islam 03063020339656.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI