fbpx

‘Dia menyeringai, saya lari lintang pukang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ikram Haikal menunjukkan tulang belikat dan selangkanya yang patah selepas dikejar beruk di Kampung Cheting, Hulu Terengganu.

HULU TERENGGANU – Hasrat seorang pemuda mencari kayu untuk dijadikan turus pagar kandang lembu berakhir duka apabila tulang belikat dan selangkanya patah akibat dikejar seekor beruk liar dalam kejadian di Kampung Cheting di sini.

Kejadian pada pukul 11 pagi Jumaat lalu itu berlaku apabila Mohd. Ikram Haikal Haizal Zulkifli, 21, dihempap motosikal ketika cuba melarikan diri daripada seekor beruk liar yang menyerangnya.

Mengimbau semula kejadian tersebut, Mohd. Ikram Haikal berkata, sebelum itu dia sedang mengumpul kayu untuk dijadikan turus pagar kandang lembu peliharaan keluarganya di kawasan belukar berdekatan.

“Tiba-tiba saya terserempak dengan sekumpulan beruk liar ketika sedang asyik mengutip kayu. Salah seekornya bertindak agresif, dia menyeringai hingga nampak taring sebelum mengejar saya.

“Cemas dengan kejadian itu, saya lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri sebelum dihempap motosikal sendiri yang diletakkan di tepi jalan besar,” kata tukang rumah itu ketika ditemui di Kampung Cheting di sini semalam.

Menurut Mohd. Ikram Haikal Haizal, motosikal berkenaan terjatuh sewaktu dia mahu menghidupkan enjin secara kelam-kabut.

Tambahnya, dia bernasib baik diselamatkan dua penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu sewaktu kejadian.

“Mereka membantu menghalau beruk liar tersebut kembali ke dalam belukar sebelum menghantar saya pulang ke rumah.

“Saya yang mengalami kesakitan pada bahu kanan kemudiannya dikejarkan keluarga ke Hospital Hulu Terengganu sebelum disahkan patah tulang belikat dan selangka,” katanya.

Mohd. Ikram Haikal berkata, kecederaan tersebut menyebabkan dia perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan.

Dia berkata, beberapa penduduk kampung lain turut me­ngadu pernah menjadi mangsa gangguan beruk liar sejak akhir-akhir ini.

“Serangan menimpa saya pa­ling teruk setakat ini sehingga menyebabkan kecederaan.

“Mohon pihak berkenaan ambil tindakan segera sebelum kumpulan beruk liar tersebut lebih agresif membahayakan ke­selamatan penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI