JITRA – “Saya ambil (syabu) saja-saja, rasa kuat sikit bawa treler dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang”
Demikian kata seorang pemandu treler selepas dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bersepadu, Ops Patuh Khas Kenderaan Komersial diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jitra, di sini malam tadi.
Lelaki berusia 30-an tahun dan masih bujang itu ditahan ketika melalui Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Tindakannya memandu kenderaan berat disyaki dalam keadaan di bawah pengaruh dadah itu juga dipersoalkan anggota penguat kuasa JPJ di situ kerana mampu mengundang kemalangan seterusnya mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain.
Namun, dia mendakwa tidak lalok dan berupaya memandu sehingga ke Pulau Pinang.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pemandu treler terbabit merupakan antara empat individu yang ditahan kerana positif methamphetamine atau syabu.
“Operasi malam ini berjaya menahan empat pemandu kerana disyaki di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine.
“Kalau mereka ini dibenarkan berada di jalan raya, bagaimana risiko yang perlu ditanggung pengguna jalan raya lain, namun dengan bantuan AADK, mereka yang menggunakan bahan terlarang ini berjaya ditahan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut, malam tadi. – KOSMO! ONLINE