PETALING JAYA – Dipilih mewakili negara beraksi di pentas global ABU TV Song Festival 2023 yang berlangsung di Korea Selatan membuatkan nama penyanyi Aina Abdul terus mekar mewangi di negara tersebut.
Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani bersyukur selain menganggap peluang menyertai pertandingan anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) sebagai satu pencapaian terbaik dalam karier seninya.
“Diberi peluang keemasan mewakili Malaysia beraksi di pentas antarabangsa merupakan penghormatan yang cukup istimewa buat saya bahkan boleh disifatkan antara pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.
“Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan.
“Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di persada dunia,” kata pelantun lagu Sumpah itu dalam sebuah kenyataan.
Membawakan lagu hits ciptaannya berjudul Terus Hidup, Aina berjaya memukau hampir 2,000 penonton di Korea Selatan.
Penyanyi berusia 30 tahun itu juga berharap persembahannya dapat menjadi batu loncatan untuk mengembangkan kerjaya seni di negara luar.
“Saya berharap persembahan itu dapat mempersonakan kesemua audien yang menonton termasuk di dewan dan di rumah.
“Manalah tahu, mungkin selepas menonton program tersebut, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul.
“Besar harapan saya selepas ini akan menerima lebih banyak undangan untuk kembali beraksi di sini, mungkin untuk projek kolaborasi yang lebih istimewa, insya-Allah. Terima kasih, Korea untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini,” ujarnya lagi.
Selain Aina, penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 yang dihoskan oleh stesen televisyen nasional Sistem Penyiaran Korea (KBS) itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara. – KOSMO! ONLINE