fbpx

10 individu mengaku tak salah tawar iklan pelacuran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
10 tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau, hari ini. Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI/ KOSMO!

BALIK PULAU – 10 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pendakwaan menawarkan iklan persundalan membabitkan pelacur antarabangsa secara dalam talian, dua minggu lalu.

Tertuduh, Soay Say Hean, Teh Hang Wei, Karen, Tang Xin Ying, Lay Cheak Joe, Jack Oon Han Jie, Lee Suet Yee, Beh Shing Ping, Ang Hooi Qian, Lim Shin Ghee dan Beh Shin Yuan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Sebelum itu, kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 33 tahun mengangguk faham semua pertuduhan yang dibacakan secara serentak dalam Bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa telah mengiklankan khidmat persundalan secara dalam talian menerusi laman web yang semunasabahnya boleh difahami sebagai platform yang menawarkan mana-mana orang bagi maksud persundalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis di Bayan Lepas di sini, pada pukul 5.30 petang.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 dengan membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala Peguam C. P Ang mewakili tertuduh pertama, kedua dan keempat hingga 10 manakala tertuduh ketiga pula diwakili peguam, K. Selva.

Ketika prosiding, pihak pembelaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada setiap tertuduh beserta syarat tambahan.

Namun, pihak pembelaan memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut kepada RM5,000 setiap seorang disebabkan ada anak guam yang masih menjaga ibu bapa warga emas selain memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin RM6,500 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh membayar ikat jamin berkenaan pada tengah hari tadi dan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan,
polis menumpaskan sebuah pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa yang mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan selepas menahan seramai 11 warga tempatan.

Premis perniagaan itu beroperasi sebagai pusat panggilan aktiviti pelacuran yang berpusat di Australia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI