fbpx

Yusof Haslam tak nak burukkan keadaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Yusof enggan memberi sebarang komen berkenaan spekulasi perceraian anaknya, Syamsul Yusof dan Ira Kazar.

PENGARAH dan penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam terkejut dengan spekulasi perceraian anaknya, Syamsul Yusof dengan isteri, Ira Kazar yang hangat diperkatakan dalam media sosial hari ini.

Yusof berkata, dia tidak tahu-menahu tentang desas-desus tersebut dan enggan memberikan sebarang komen.

“Mana dapat berita? Itu betul-betul ke atau khabar angin? Saya tidak tahu menahu. Saya sendiri pun sudah terputus hubungan (tidak berjumpa Syamsul). Jadi saya tidak tahu apa-apa,” katanya.

Ujar penggiat seni berusia 69 tahun itu, dia tidak mahu mengulas perkara itu kerana bimbang memburukkan lagi keadaan sekiranya tersalah cakap.

Tambah Yusof, isterinya, Datin Patimah Ismail turut mengingatkannya supaya tidak lagi memberikan apa-apa kenyataan tentang anak mereka.

“Syamsul pun dah lama tak balik ke rumah. Jadi saya tidak boleh beri komen. Takut nanti tersalah cakap. Tak bagus pula dan akan memburukkan lagi keadaan.

“Macam kenyataan saya semalam yang keluar dalam program Melodi, isteri saya pun dah bising. Datin dah pesan jangan cakap apa-apa. Jangan mengharapkan anak balik. Cukup-cukuplah,” kata Yusof.

Pada masa sama, Yusof seboleh-bolehnya mahu menjaga hati anak sulungnya itu daripada terluka dengan mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya pun tidak tahu hal sebenar. Jumpa dia pun tidak. Jadi kalau saya bercakap, takut melukakan hati anak.

“Kita orang tuanya, lagi nak menjaga hati anak. Bila wartawan tanya tak rindu anak ke? Siapa yang tidak rindukan anak. Isteri saya hari-hari menangis.

“Apa-apa pun kami mendoakan yang terbaik sebagai ibu bapa,” jelasnya.

Terdahulu, kecoh dalam media sosial tentang perceraian Syamsul dengan Ira seperti yang dilaporkan beberapa portal hiburan tempatan.

Bagaimanapun, bekas peguam yang pernah mewakili Syamsul ketika perceraiannya dengan pelakon. Puteri Sarah Liyana sewaktu dihubungi HibGlam menegaskan tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut dan enggan memberikan sebarang komen lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI