fbpx

UKM jalin MoU dengan 3 universiti Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. EKHWAN (duduk, kanan) sewaktu menandatangani MoU dengan wakil University Of Isfahan sambil disaksikan oleh Khaled (berdiri, dua dari kanan) di Dewan Ghasem Soleimani, University of Isfahan, Iran baru-baru ini.

DALAM usaha mengukuhkan rangkaian kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin usahama strategik dengan tiga universiti di Iran.

Memorandum persefahaman (MoU) tersebut melibatkan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM dengan University of Isfahan, manakala Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM dengan D8 International University dan Islamic Azad University.

D8 atau dikenali sebagai Kumpulan Lapan Negara Membangun merupakan organisasi bagi kerjasama pembangunan antara Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Bagi Kumpulan D8 pula, antara misi paling penting bagi sebuah universiti adalah penyelidikan, inovasi, pendidikan dan aktiviti antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Mohd. Ekhwan Toriman, fokus kerjasama IKMAS adalah kepada bidang penyelidikan berkaitan Asia Barat dan keselamatan politik dalam konteks geopolitik global.

Sementara itu, MoU melibatkan FST memfokuskan kepada bidang sains bumi, alam sekitar, keselamatan siber, sekuriti makanan dan kecerdasan buatan (AI).

“Fokus utama tiga perjanjian ini termasuk pertukaran dan mobiliti pelajar, perkongsian data, penerbitan bersama, kerjasama penyelidikan dan pembangunan bakat.

“Kerjasama pintar ini sudah pasti akan melahirkan siswazah dan kakitangan berdaya saing, melengkapkan diri mereka dengan pengalaman interaksi di peringkat global yang amat berharga, menerusi program mobiliti serta pembinaan kapasiti,” katanya dalam sebuah kenyataan.

UKM menjalin kerjasama strategik dengan tiga universiti di Iran menerusi pemeteraian MoU bagi mengukuhkan rangkaian kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Tambahnya, UKM telah diamanahkan dengan tugas penting menjalankan penyelidikan komprehensif berhubung perkara berkaitan air dengan kerjasama D8 International University (Iran) yang berpangkalan di Turkiye.

Jelasnya, ia jelas menandakan langkah yang signifikan ke arah meningkatkan kefahaman kolektif UKM dalam menangani isu kritikal berkaitan air pada skala global.

MoU tersebut juga merupakan sebahagian daripada rangka rasmi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin ke Iran baru-baru ini.

Menurut Khaled, MoU berkenaan sebagai bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

Dua MoU tersebut ditandatangani pada 7 Oktober lalu, manakala perjanjian dengan D8 International University dimeterai pada keesokan harinya bertempat di Dewan Ghasem Soleimani, University of Isfahan, Iran.

Untuk rekod, University of Isfahan yang diasaskan pada tahun 1964 merupakan antara lima universiti antarabangsa terbaik dan berpengaruh di Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI