SHAH ALAM – Juri tetap program nyanyian, Famili Duo musim tiga (FD3), Ajai meminta maaf atas tindakan tidak disengajakan, terlontar perkataan tidak senonoh ketika siaran langsung konsert minggu ketiga pertandingan berkenaan, malam tadi.
Komposer berusia 48 tahun itu mengakui terkhilaf menyebut menggunakan bahasa kesat gara-gara menerima cacian netizen menerusi mesej langsung laman sosialnya susulan komen pedas dibuat terhadap persembahan duo adik-beradik, Ryan dan Adam Bakery minggu lalu.
Minggu ini, bahasa kesat merujuk kemaluan wanita itu terkeluar dari bibirnya ketika bercerita situasi dilaluinya semasa menjurikan persembahan duo sama.
Menurutnya, perkataan tidak senonoh tersebut terus bermain-main dalam fikiran sehinggalah dia terlepas cakap di hadapan penonton.
“Saya menerima banyak sangat perkataan tidak elok, caci maki dalam Instagram.
“Perkataan itu (tentang kemaluan wanita) bermain-main di dalam minda sampai terlepas. Saya minta maaf,” ujarnya beberapa minit selepas insiden berlaku.
Ajai dalam komennya minggu lalu mengkritik persembahan Ryan dan Adam kurang memberi impak serta tidak mencapai piawaian penjurian.
Akibat kecaman bertubi-tubi, Ajai yang juga anggota kumpulan Exists terpaksa menutup notifikasi dalam Instagramnya.
Bagaimanapun, Ajai dalam pada masa sama secara terbuka menegaskan tidak mengambil hati dengan kutukan netizen.
Malah pemilik nama sebenar Mohamad Faizal Maas, 48, memaafkan mana-mana individu yang melemparkan pelbagai penghinaan terhadapnya.
“Tak apalah, saya ampunkan. Tetapi pada saya, ini adalah kerja dan tanggungjawab. Saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.
Selain Ajai, FD3 yang bersiaran selama lapan minggu bermula 15 Oktober lalu turut membariskan Mas Idayu bertindak sebagai juri tetap. – KOSMO! ONLINE