fbpx

Tamat subsidi: Harga runcit ayam sekitar RM10.40 sekilo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi siaran soalan lazim penamatan subsidi ayam menyebut, harga sekilogram ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka sekitar RM10.40 satu kilogram (kg).

Harga tersebut masih kekal walaupun langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 November ini, namun harga ayam di peringkat hypermarket atau pasar raya besar dijangka tidak akan melebihi RM9.40 satu kg.

“Walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 sekilogram, peniaga di peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan antara RM1 ke RM2 satu kg, menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilogram,” menurut KPKM.

Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, KPKM menyebut kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara dengan harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak membebankan rakyat.

Mengenai persoalan langkah kerajaan jika harga ayam naik mendadak selepas harganya diapungkan, KPKM menyatakan kementerian itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke outlet peruncitan dari semasa ke semasa.

Menurut KPKM, sekiranya berlaku kenaikan mendadak akibat kekurangan bekalan, kementerian itu telah bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.

“Namun begitu, jika berlaku kenaikan mendadak, kerajaan boleh mengenakan kawalan harga bersekali dengan subsidi atau tidak bersubsidi,” jelas KPKM.

Sementara itu, mengenai perbezaan harga ayam standard dan ayam super selepas langkah pengapungan harga itu, KPKM menyatakan ayam standard dijual berserta kepala, kaki, hati dan hempedal manakala ayam super dijual selepas dibuang kesemua bahan terbabit, dengan kedua-duanya berbeza dari aspek berat dan harga.

Menurut KPKM, kebiasaannya harga ayam standard adalah RM1 sekilogram lebih murah berbanding ayam super di peringkat runcit, dan perbezaan harga itu dijangka dikekalkan apabila ia diapungkan memandangkan terdapat perbezaan dalam berat antara kedua-dua spesifikasi ayam berkenaan.

Mengenai harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan selepas pengapungan itu, KPKM memaklumkan asas harga di wilayah berkenaan adalah sedikit tinggi sepanjang kawalan harga dibuat berdasarkan faktor-faktor serta kos setempat.

“Apabila diapungkan, harga di wilayah-wilayah ini dijangka mengalami sedikit penyelarasan di peringkat pasaran pengeluar, borong dan juga runcit. Bagaimanapun, harganya dijangka kekal stabil jika bekalan bahan ini mencukupi dan tiada gangguan di peringkat pengeluaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI