BATU PAHAT – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki pada Selasa lalu.
Tertuduh, Norazwan Ismail, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Dia didakwa memandu lori jenis Daihatsu secara melulu sehingga menyebabkan kematian mangsa di Kilometer 13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang, di sini pada pukul 7.04 pagi, 25 Oktober lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam S. Thamarah diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain diarah melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan lori yang membuat pusingan U.
Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, yang dipercayai dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Parit Sulong parah di kepala serta badan. Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE