fbpx

Pas selar 12 wakil rakyat PKR bantah Minggu Solidariti Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin

PETALING JAYA – Pas menyuarakan rasa kurang selesa dengan tindakan 12 wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggunakan terma-terma berunsur negatif sebagai asas bantahan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pengajian awam anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan di laman Facebook Pas, wakil rakyat terbabit perlu berhati-hati supaya tidak memberi gambaran salah tentang perjuangan rakyat Palestin atau dilihat seakan-akan mensabotaj usaha baik KPM.

“Pas bersetuju bahawa elemen-elemen sedemikian tidak harus dibawa masuk atau disuburkan bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah dalam kalangan masyarakat.

“Penggunaan terma berunsurkan dendam, kebencian dan keganasan bukan sahaja boleh disalah anggap, malah dilihat seperti mahu melanjutkan lagi naratif dakyah dan prasangka yang dijuarai oleh media barat yang menyokong rejim apartheid Israel apabila merujuk kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Menurutnya, KPM perlu mengambil langkah ke hadapan dengan menyediakan garis panduan yang lebih terperinci sebagai pedoman kepada sekolah dan institusi pendidikan berhubung pengisian program tersebut.

“Pas bersetuju bahawa pengisian program yang agak berlebih-lebihan di beberapa buah sekolah seperti dilaporkan sebelum ini harus dihindari.

“Namun, ia bukanlah isu pokok atau terlalu penting untuk dijadikan hujah bagi membatalkan atau menimbangkannya semula,” ujarnya.

Tambah Takiyuddin, Pas menyokong penuh semua usaha yang dilakukan bagi membela semua pihak dan kumpulan yang dianiaya dan dinafikan hak sah mereka, sama ada di Palestin, Myanmar atau di mana-mana negara.

“Sebagai sebuah parti Islam, Pas akan terus meneladani perjuangan Rasulullah SAW dan dasar teras pemimpin serta kerajaan Islam di sepanjang sejarah dalam isu-isu keadilan, keamanan, hak dan kehormatan semua, tanpa kecuali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI