SEREMBAN – Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan Nilai di sini sebagai lubuk mencari rezeki membawa kepada penahanan 216 warga asing dalam Ops Sabung yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pengarah JIM Negeri Senbilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, seramai 11 orang kanak-kanak juga ditahan dari keseluruhan warga asing tersebut dalam Ops Sabung di bawah arahan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Negeri Sembilan bermula 24 hingga 28 Oktober lalu.
“Operasi dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk kedai-kedai perabot, permaidani, runcit, langsir dan kedai makan.
“Hasil daripada 74 operasi yang dilaksanakan, pemeriksaan telah dibuat ke atas 1,597 warga asing. Seramai 216 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1957/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kennith berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 134 lelaki dan 71 wanita serta 11 kanak-kanak melibatkan 153 warga Myanmar, 16 Indonesia, 24 Bangladesh, 5 Nepal, 2 Kemboja, 3 Pakistan, 4 India dan 8 Vietnam.
“Manakala kanak-kanak terdiri daripada 10 warga Myanmar dan seorang warga Pakistan berusia antara dua hingga 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata, warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Lenggeng untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE