SHAH ALAM – Seorang lelaki diselamatkan selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Perodua Myvi di hadapan sebuah pasar raya di Setia Alam di sini semalam.
Kejadian menimpa pemuda berusia 28 tahun itu disedari orang awam pada pukul 7.54 malam selepas mendapati ada bekas bara dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan kereta tersebut adalah kepunyaan kakak iparnya.
Katanya, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu.
“Tindakan pantas semua pihak telah berjaya menyelamatkan nyawa pemuda itu dan dia dihantar ke Hospital Shah Alam untuk diberi rawatan selanjutnya.
“Mangsa kini dilaporkan lemah, namun keadaannya stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes itu. Pemeriksaan juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.
“Bekas bara dan sampel yang ditemui dalam kenderaan mangsa akan dihantar ke jabatan kimia untuk tindakan lanjut. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan termasuk cubaan membunuh diri,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai Inspektor Izzman Mohd. Idrus di talian 013-4003355. – KOSMO!ONLINE