KOTA BHARU – Seorang lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan isterinya di sebuah rumah di Melor dekat sini, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Salam Mohd. Rashid, 32, yang bekerja sebagai buruh hanya mengangguk tanda faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki etnik Rohingya, Nurul Salam Mohammad Sadik, 44.
Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Melor Lama, Melor di sini kira-kira pukul 8 pagi hingga 9.15 pagi pada 17 Oktober lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan boleh dihukum tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Rais Imran memaklumkan tiada sebarang ikat jamin ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 31 Januari tahun depan untuk laporan kimia dan forensik.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki Rohingya yang bergaduh dengan rakan senegaranya di sebuah rumah di Kampung Melor Lama, di sini mati akibat tikaman bertubi-tubi sebanyak 40 kali pada bahagian dada dan perut.
Mangsa dibunuh kejam menggunakan pisau pemotong sayur apabila suspek mengetahui rakannya tersebut mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian itu, mayat mangsa yang juga buruh ditemui di kawasan kebun jagung berhampiran rumah yang menjadi tempat pergaduhan antara lelaki itu dengan suspek.
“Suspek dipercayai cemburu apabila mangsa datang ke rumah sewanya. Dia mengesyaki mangsa dan isterinya yang berusia 29 tahun mempunyai hubungan sulit sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.
“Selepas bergaduh di dalam rumah, mangsa telah melarikan diri ke kebun jagung berhampiran kediaman tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE