PETALING JAYA – Seorang jurugambar bebas di Palestin mendedahkan, ramai yang bertanyakan kepadanya berhubung hasrat untuk mengambil anak angkat yatim piatu khususnya di Gaza selepas mereka kehilangan ibu bapa akibat pengeboman rejim Zionis Israel.
Belal Khaled menerusi InstaStory pada Instagram menceritakan hasrat orang ramai itu selepas dia tidak putus-putus menerima mesej berhubung pengambilan anak angkat yatim piatu di Gaza.
Bagaimanapun, pemuda itu memberitahu, anak-anak yang kehilangan ibu bapa akan dipelihara oleh saudara-mara sekali gus mereka tidak dibiarkan begitu sahaja.
“Kawan-kawan, berkenaan isu mengambil anak-anak yatim piatu, saya terima banyak mesej dan saya sangat hargai pendirian anda untuk mengambil anak angkat yatim piatu di Gaza.
“Ini adalah suatu perkara baik yang membuatkan kami berasa kita adalah satu keluarga. Namun ingin dijelaskan, di Gaza apabila keluarga meninggal dunia, anak-anak yang tinggal ini akan dipelihara pakcik atau saudara mereka,” katanya.
Belal Khaled berkata, saudara-mara kanak-kanak tersebut tidak akan sesekali membiarkan anak-anak yatim itu sekali gus membesarkan mereka sebagai darah daging sendiri.
“Mereka tidak akan membiarkan anak tersebut, seterusnya mereka ini akan menjadi ibu bapa anak-anak ini. Sekali lagi saya berterima kasih atas keprihatinan semua. Semoga Tuhan merahmati anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE