KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan dan pemain industri supaya bekerjasama dalam memperluaskan pembelajaran dan peluang pembangunan kepada rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi, selepas Malaysia berdepan krisis kesihatan.
Baginda bertitah, dalam memastikan negara kekal kuat dan bersaing pada masa hadapan, tenaga kerja dan bakat juga mesti digalakkan dan diilhamkan dalam menjadikan pembelajaran sepanjang hayat selain memberi keutamaan kepada pembangunan sahsiah yang berterusan.
“Krisis kesihatan telah mengubah cara hidup, pembelajaran kepada anak-anak, operasi perniagaan selain pengurusan kepada industri yang pelbagai.
“Perubahan ini bukan sahaja pada waktu tersebut, tetapi menyebabkan anjakan paradigma yang ketara kepada rakyat, perniagaan, industri dan negara.
“Justeru, pengajaran boleh diambil daripada keadaan tersebut ialah perniagaan yang mampu bertahan selain perkembangan bakat baharu yang semakin meluas,” titah baginda pada Majlis Perasmian National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, selepas dua tahun yang mencabar, negara kembali menikmati tempoh kestabilan ekonomi dengan kadar penyertaan buruh meningkat pada 70.1 peratus sehingga Julai tahun ini.
“Sehubungan itu, dalam meneruskan pertumbuhan dan pemulihan momentum ini, kita mesti terus untuk melabur kepada bakat dan tenaga kerja.
“Sebab itu usaha dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia bersama Human Resource Development Corporation penting dalam membantu untuk mencapai matlamat tersebut dengan mewujudkan dasar yang betul dan memastikan penyampaian mekanisme berstruktur untuk latihan dan dana latihan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE