KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan harga jualan ayam yang diapungkan akan terus berada pada kadar yang munasabah susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa Rabu ini.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, harga ayam dijangka terkawal dan akan kekal stabil selepas diapungkan.
“Kita tidak dapat jangka (kenaikan harga), tetapi ia terkawal, insya-Allah di bawah harga siling.
“Pihak kita juga telah berdialog dengan pembekal. Menurut mereka, harga yang dijual sekarang lebih murah daripada harga siling, maka ia akan stabil selepas diapungkan,” katanya pada pada sidang media khas penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar sekiranya terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.
“Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.
“Kami juga akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup,” katanya.
Bagi memastikan harga ayam tidak dijual pada harga yang membebankan rakyat, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, kerajaan bakal melaksanakan langkah intervensi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Sekiranya ada perlakuan-perlakuan yang melanggar akta tersebut, pihak KPDN akan mengambil tindakan.
“Jika perlu, kerajaan juga akan melakukan intervensi di bawah akta tersebut supaya harga ayam tidak dijual dengan harga yang membebankan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE