TEHERAN – Presiden Iran, Ebrahim Raisi memberi amaran bahawa Israel melangkah garisan merah yang akan memaksa semua pihak untuk mengambil tindakan ke atas Rejim Zionis, lapor portal berita The Palestine Chronicle semalam.
“Kejahatan Rejim Zionis melampaui batas yang akan memaksa semua orang untuk bertindak. Washington meminta kami (Paksi Penentangan) berdiam diri tetapi mereka meneruskan sokongan meluas kepada Israel,” kata Raisi dalam satu kenyataan di laman X.
Paksi Penentangan ialah istilah yang digunakan di Asia Barat untuk merujuk tentangan terhadap penjajah Israel dan campur tangan tentera AS.
Iran, Hizbollah, Hamas, Jihad Islam dan kumpulan lain termasuk dalam paksi tersebut.
Terdahulu, Raisi berkata dalam temu bual bersama stesen televisyen Al-Jazeera bahawa Iran tidak akan mengendahkan amaran AS berhubung campur tangannya dalam konflik Israel-Palestin.
Lebih 8,000 penduduk Palestin terkorban di Gaza dan lebih 20,000 lagi cedera selepas Israel melancarkan serangan balas di Gaza sejak 7 Oktober lalu. – AGENSI