fbpx

HCTM UKM rasmi penggunaan dua alat perubatan berteknologi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zabri (dua dari kanan) mendengar penerangan dari Pengarah HCTM UKM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin (kiri) mengenai salah satu mesin yang digunakan dalam sesi lawatan ke pusat ke endoskopi hospital tersebut, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merasmikan penggunaan dua peralatan perubatan yang berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), bernilai RM9.2 juta, hari ini.

Dua peralatan tersebut adalah Sistem Angiografi dan Sistem Fluoroskopi yang merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM53 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, hasil peruntukan berkenaan sekali gus mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan di hospital berkenaan.

“Sebagai salah sebuah hospital pengajar yang telah beroperasi selama 26 tahun, sudah pasti fasiliti dan peralatan yang diguna selama ini memerlukan penaiktarafan, penggantian serta pembaharuan.

“Atas kesedaran ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) berbesar hati menyokong penambahan alat canggih bagi menggantikan alat yang usang ini dan ia keperluan yang tidak boleh dielakkan,” katanya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff di Majlis Perasmian Peralatan Perubatan RMK-12 HCTM, UKM, di sini.

Dalam masa sama Mohamed Khaled menegaskan, kualiti dan mutu ekosistem pengajian perubatan dan kecekapan perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang awam tidak boleh dikompromi sama sekali.

“KPT memahami jumlah pesakit yang meningkat, keupayaan hospital terhad dan keadaan peralatan semakin usang, maka usaha menaik taraf peralatan ini menjadi sangat mendesak.

“Biarpun sebelum ini terdapat kekurangan dari segi peralatan dan kemudahan, HCTM tidak pernah mengabaikan kualiti perkhidmatan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Gs. Ts Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman, berkata, peralatan-peralatan berkenaan menjadi sebahagian peralatan utama dan sokongan kepada yang sedia ada.

“Teknologi Al ini dimanfaatkan dalam peralatan pengimejan seperti peralatan angiografi, fluoroskopi, magnetic resonance imaging (MRI), x-ray dan sebagainya yang banyak membantu dalam proses diagnos perawatan dengan lebih cepat, efisien dan tepat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI